Thursday, September 8, 2011
AidilFitri 2011 (part 1 - The Journey Home)
Aidilfitri 2011 agak kalut walaupun cutinya agak panjang kerana berkebetulan dengan cuti Hari Kebangsaan.
Kami pulang pada 26/08/2011, melalui lebuhraya PLUS dan jalanraya Timur- Barat. Plan asal bertolak pada 3 atau 4 pagi, tidak menjadi kerana aku dan isteriku keletihan. Kami hanya dapat bertolak dari Subang pada 12 tengah hari Jumaat itu. Agak kalut, kerana jika sudah mencecha waktu Zohor aku harus menunaikan solat Jumaat dulu sebelum berangkat. Secara keseluruhannya perjalanan agak lancar, hampir tiada 'jem' ku temui kecuali ketika turun dari Jalan Timur Barat dari Pergau menghala ke Jeli. Kami jamak di masjid Kg Sumpitan (?) di jalan Kuala Kangsar-Gerik. Ada pendapat bahawa lebih afdhal untuk solat Jumaat sekiranya mula bermusafir selepas Subuh, namun aku mengambil rukhsah kerana agak sukar untuk meninggalkan isteri dan anak-anakku. Aku amat jarang menggunakan laluan ini, paling akhir pun rasanya pada 2008 itu pun menumpang abang ku yang no 2.
Disebabkan waktu bertolak yang tertangguh, kami agak lewat tiba di Gerik namun aku bersyukur kerana dapat melepasi laluan berbukit di Jalanraya Timur barat sebelum malam menjelang, atau lebih tepatnya sebelum gelap. ini kerana kami telah dimomokkan dengan berbagai cerita mengenai laluan ini pada waktu malam. Bukan lah cerita seram sebenarnya namun agak membimbangkan bagi aku yang agak rabun malam dan tidak biasa dengan laluan ini. Waktu Maghrib masuk betul-betul semasa kami sampai di Hentian Titiwangsa. Sudah banyak bezanya hentian ini berbanding semasa zaman aku mengikut ayahku semasa tahun 80an dulu. kami berhenti sekejap sahaja untuk membuang air kecil dan membuang sisa muntah anakku. Alhamdulillah, kami sempat turun dari laluan berbukit semasa langit masih berbaki cerah dan suasana malam hanya betul-betul gelap selepas kami melepasi pintu masuk ke Stesen Janaelektrik Pergau.
Walaupun laluan lancar, kereta pun tak banyak sangat namun ada satu perkara yang agak mengganggu pemanduanku iaitu rupa-rupanya di antara rombongan balik kampung kami itu ada yang tak tahan dengan laluan berbukit yang berliku-liku dan berbeza tekanan udara. Natijahnya, 3 daripada kami muntah dan bau muntah itu amat mengganggu ku. Alhamdulillah, pemandunya masih dapat bertahan :). Nampaknya untuk trip berikutnya sekiranya melalui laluan ini, kami harus memikirkan cara untuk mengurangkan risiko muntah ini.
Dipendekkan cerita, kami selamat sampai di rumah mertuaku di Padang Salim lebih kurang pada 10.30 malam. Keseluruhan perjalanan mengambil masa dalam 9 jam 30 minit. Agak memuaskan memandangkan jangkaan perjalanan jika melalui laluan Kuala Lipis - Gua Musang adalah 10 jam paling cepat. apa-apa pun, Alhamdulillah.
gambar : Husna, Asma' dan sepupu mereka Aishah di rumah Tuk Cik Nun di Gong Badak, Terengganu. 02/09/2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment