Wednesday, June 22, 2011

Syukur Atas Ujian


ingat 5 perkara sebelum 5 perkara.

Salah satu nya, Masa lapang sebelum masa sempit.

Aku dah terasa dah. Dulu di pejabat lama, masa ku lapang. Ok, tak ada lah lapang betul. Cuma dibandingkan dengan sekarang, rasanya kesibukan nya dua kali ganda, atau tiga kali ganda!

Satu pengajaran buat diri ku. Masa lapang dulu patut digunakan sebaiknya. Sekarang tiada guna menyesal. Gunakan masa yang ada untuk muhasabah dan perbaiki diri. Semoga di suatu hari di masa yang entah tidak tahu bila, akan ku temui kembali kelapangan itu.

Syukur. Kesibukan itu satu ujian. Syukur. Kerana kesibukan dan keresahan, aku makin merasai fitrah manusia perlukan Tuhannya. Di kala tiada tempat untuk memohon, Dia sentiasa ada. Di kala tiada temapt untuk mengadu, Dia sentiasa sudi mendengar.

Syukur. Jarak dan perpisahan itu satu ujian. Syukur. Kerana jarak dan perpisahan, aku lebih mengerti erti rindu dan kasih sayang. Kerana jarak dan perpisahan, aku lebih menghargai setiap masa yang terluang. Kerana jarak dan perpisahan, aku lebih mengerti kerinduan seorang ibu dan seorang ayah yang semakin dimamah usia.

Syukur. Ujian ku hanya kesempitan masa dan kejauhan perjalanan. Ujian ku bukan ujian peluru dan bedilan mortar. Ujian ku bukan ujian rusuhan dan perang saudara. Ujian ku bukan ujian diktator kejam berkuku besi mengganas membunuh sesuka hati. Aku masih dapat melihat anak isteriku, waima hanya seminggu sekali. Aku dan anak isteriku masih cukup makan minum pakai nya, waima jarang-jarang sekali kami dapat makan bersama.

Syukur ya Allah. Alhamdulillah..

No comments: